الحمد لله الذي بيده ملكوت كل شيئ وهو يجير ولا
يجار عليه والصلاة والسلام على المصطفى الأخيار وآله الأطهار وأصحابه المختار
وأتباعه الأبرار.
PUK
ingin menegaskan bahawa di antara tanda keagungan Ilahi dan bukti kekuasaan kerajaan
langit ialah berkuasanya Allah swt. menggantikan mana-mana kerajaan yang
dikehendakinya. Sama sahaja seperti Allah menggantikan siang dengan malam dan
matahari dengan bulan. Kerajaan adalah lambang kekuasaan. Apabila Allah ingin menzahirkan kekuasaan dan
kebesaranNya maka ia menukar sesuatu yang paling berkuasa di mata manusia, agar manusia dapat merasai betapa hebatnya kekuasaan Allah sehinggga
semua kuasa berada dibawah telapak kekuasaanNya yang esa. Dialah Allah yang sebenarnya melindungi sesuatu bangsa dan umat walaupun kerajaan bertukar-ganti. Demikianlah keyakinan yang wajar tertanam di dada
umat Islam terutamanya tok-tok guru tuan-tuan kadi, imam-imam serta para
agamawan seluruhnya.
PUK
ingin mengingatkan umat Islam bahawa setiap kerajaan di atas mukabumi telah
ditetapkan ajalnya oleh Allah, walau betapa sayangnya kita kepada sesebuah kerajaan itu, ia tetap akan pergi jua. marilah kita menerima dengan redha pemergian sesebuah kerajaan yang
ditaqdirkan pergi dan berusaha menggantikannya dengan yang lebih baik. Berapa
banyak kerajaan diambil oleh Allah bila tiba ajalnya. Kerajaan khilafah
arrasyidin adalah khilafah yang terbaik tetapi ia berakhir jua. Kemudian satu
persatu kerajaan datang dan pergi silih berganti.
Ketika
umat islam tertanya tanya apakah pendirian PUK dalam isu pilihanraya yang sedang
hangat diperkatakan sekarang. Apakah wajar PUK menjadi pemerhati sahaja melihat
umat yang bergelut untuk melakar masa depan mereka. hingga timbul isu
perpecahan, terancamnya agama dan juga hilangnya bangsa. PUK
tidak wajar bersikap sedemikian dan tidak wajar juga bersikap bias semata-mata
menurut sentimen politik kepartian. PUK hendaklah berada bersama kepentingan
agama dan umat keseluruhannya. justeru itu setelah mengamati dengan teliti
perkembangan semasa dan kepentingan umat Islam maka PUK mengambil pendirian
berikut:
- PUK menyeru umat islam berpolitik
dengan akhlak yang tinggi sebagaimana akhlak para nabi iaitu menjunjung
kebenaran (siddiq), melaksanakan amanah, menyampaikan fakta (tabligh) dan bertindak
dengan bijaksana (fatanah), serta menolak budaya samseng, menyalahguna
hartabenda negara dan menyebar fitnah.
- Menyokong pendirian Dewan Ulama
Pas Kedah untuk bersama mengekalkan kepimpinan kerajaan negeri Kedah yang
sedia ada. Sikap ini bukan berdasar kecenderungan politik kepartian tetapi
setelah menilai situasi semasa dan (tanzil nas ala al-waqi’) iaitu menurunkan
nas nas syarie ke dalam realiti. Mengamati (maslahah) kepentingan ummah
yang ditekankan di dalam kaedah feqah siyasi.
- Hasrat kepimpinan kerajaan negeri
sekarang untuk menjadikan negeri ini baldah tayyibah atau negara kebajikan
yang mendapat keampunan Tuhan, adalah selari dengan perjuangan para nabi
dan rasul, walaupun diakui masih wujud kelemahan daripada aspek pelaksanaan
tetapi dari pemerhatian PUK dasarnya masih kekal bertepatan dengan syarak
- Tidak ada tindakan yang
diluluskan oleh kerajaan negeri yang boleh dikategorikan sebagai dosa
besar atau perkara yang melucutkan kelayakan (salahiyyah) seseorang
pemimpin Islam sebagaimana yang digariskan oleh para fuqaha kenegaraan
Islam.
- Gaya kepimpinan seseorang
pemimpin walaupun kurang disenangi ramai, bukanlah alasan syarie untuk
menolak kepimpinannya selagi ia tidak menzahirkan maksiat secara terang
terangan.
- Para ulama muktabar menyarankan
umat Islam bersabar dalam menghadapi situasi di atas sehingga Allah
mendatangkan kelegaan kepada mereka.
- Para ulama bebas berijtihad dalam
pandangan politik mereka tetapi hendaklah mengemukakan asas syarie yang
kukuh dan pandangan para ulama yang muktabar untuk menyokong pandangan
mereka agar umat tidak keliru serta mudah untuk mereka memahami sesuatu
isu.
- Para ulama hendaklah menjauhi
fitnah kebendaan dan kilauan dunia yang menggoda, agar mereka dapat
menjadi bintang yang bersinar memandu umat kepada kebenaran. Jauhilah
daripada menjadi penyebar budaya lucah dan fitnah dengan alasan alasan yang
tidak syarie. Lebih baik bagi para ilmuan itu mengemukakan gagasan ilmunya
daripada menyebarkan fitnah yang telah cuba dibuktikan secara bersungguh-sungguh
selama 14 tahun tetapi tetap gagal dengan kehendak yang maha Esa.
عن ابي تميم الداري عن النبي صلى الله عليه
وسلم قال: الدين النصيحة قالوا لمن، قال: لله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين
وعامتهم
Syeikh
Yusuf Mahmud YDP PUK