Ahad, 18 Januari 2009
Kemenangan Palestin Adalah Kemenangan Ummah
PUK ingin mengucapkan tahniah kepada umat Islam di seluruh dunia dan di Palestin secara khusus di atas anugerah Allah yang maha esa, kemenangan dalam mempertahankan kubu perjuangan Islam di Palestin dan maruah umat dari tergadai. Biarpun harga yang dibayar adalah terlalu mahal namun maruah umat Islam sedunia adalah lebih mahal dan umat Islam di Palestin telah membayarnya bagi pihak umat seluruhnya. Tahniah kepada mereka dan sesungguhnya umat ini terhutang kepada umat Islam di Palestin.
PUK juga mengalu-alukan keputusan kepimpinan Kerajaan Palestin yang diterajui oleh Ismael Haniyyah untuk cenderung kepada perdamaian apabila musuh memperlihatkan kecenderungan ke arahnya. Demikianlah fiqh peperangan dan perdamaian di dalam Islam. Kebijaksanaan kepimpinan beliau dan kekentalan barisan pejuang adalah asset yang hilang dari kepimpinan dunia Islam.
PUK menyarankan agar umat Islam berpuasa sehari dan melakukan sujud syukur bagi menyambut kemenangan umat Islam di Palestin dalam menghadapi serangan kuasa tentera yang keempat terkuat di dunia. Sebagai bandingan, dalam peperangan 1967, gabungan tentera Arab Mesir, Jordan, Suria Dan Iraq hanya dapat bertahan selama 6 hari sebelum tewas kapada tentera Israel. Sebaliknya dalam peperangan ini, pejuang-pejuang Palestin berjaya mengundurkan tentera Israel dalam masa 22 hari.
PUK menyokong saranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Muhammad agar penjenayah perang diseret dan dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Mereka mengebom orang awam di dalam rumah, tempat ibadat dan hospital dengan alasan-alasan palsu. Mereka melanggar semua undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia di hadapan mata dan telinga PBB. Satu usaha raksaksa ke arah itu hendaklah digerakkan segera dan hendaklah digerakkan sekarang. Moga tragedi ini menjadi tragedi terakhir kepada Umat Islam.
Dan segala pujian adalah milik Allah tuhan semesta alam.
Sabtu, 27 Disember 2008
Palestin Memanggil
Bumi Palestin adalah tempat isra’ Rasulullah s.a.w. dan masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam. Hari ini bumi perjuangan ini dibasahi darah lagi dengan keganasan Israel mengebom Bandar Ghazzah, membunuh sehingga kini seramai 380 orang awam dan mencederakan lebih 1500 lagi. Merekalah yang membatalkan perjanjian damai kali ini sebagaimana mereka telah membatalkannya berkali-kali sebelumnya dengan tujuan khianat dan pencerobohan.
Apa yang dikesalkan, ketika pengeboman Mumbai, seluruh dunia gegak gempita mengutuk peristiwa tersebut. Sebaliknya apabila pembunuhan beramai-ramai di Palestin berlaku, sunyi sepi. Kenapa?, ialah kerana mereka umat Islam.
Umat Islam adalah umat yang bersaudara tanpa garisan sempadan Negara dan bangsa. Jika seorang sahaja mengadu sakit, maka seluruh umat akan merasainya. Maka di atas kesedaran dan rasa tanggungjawab ini PUK menyeru seluruh umat Islam supaya menunjukkan rasa prihatin kepada nasib saudara kita di Palestin dengan mendoakan kesejahteraan mereka di dalam solat mereka dan menjadikannya sebagai bahan dalam perbincangan dan tulisan mereka. PUK juga menyarankan agar setiap masjid dan surau mengadakan solat hajat dan penerangan kepada masyarakat untuk menyemai rasa persaudaraan sejagat dan menanam ruh perjuangan di dalam jiwa generasi muda. PUK menyarankan agar setiap khatib menjadikan Khutbah Jumaat yang terdekat sebagai media terbaik untuk tujuan ini. Tukarkanlah rintihan dan air mata kesedihan kepada api yang membara. Sesungguhnya akan tiba masanya umat Islam dari seluruh pelusuk dunia berangkat ke Palestin sebagaimana umat Islam berangkat ke Makkah al-Mukarramah.
“Barangsiapa menginginkan kemuliaan, Maka ketahuilah bahawa segala kemuliaan itu adalah milik Allah, kepadanya diangkat naik setiap perkataan yang baik dan amal yang saleh. Dan orang-orang yang merencanakan kejahatan itu disediakan untuk mereka azab seksa yang perit dan perencanaan jahat mereka akan musnah binasa.” (Surah Fatir: 10.)
Ahad, 7 Disember 2008
Warkah Eidul Adha Yg. diPertua PUK.
Persatuan Ulama’ Kedah ingin memberi ucapan tahniah dan taqabbalallah minna wa minkum kepada ahlinya, para penyokongnya dan seluruh umat Islam sempena kedatangan eidul adha ini. Moga kita dapat menyambutnya dengan penuh rasa syukur di atas nikmat Allah swt. dan moga kesediaan kita bertambah tinggi untuk menggunakan nikmat Allah bagi melaksanakan ibadah korban secara khusus dan pengorbanan untuk agama ini secara amnya.
Bersempena eidul adha ini juga PUK ingin mengingatkan kembali seluruh umat Islam di Malaysia tentang nikmat Allah yang menjadi akar kekuatan umat ini yang perlu disedari, dipelihara malah diperkasakan lagi.
Rahsia kekuatan kita terletak di atas kata kunci kesatuan yang masih dapat dipertahankan sehingga hari ini. Bangsa Melayu memiliki kesatuan aqidah lantaran nikmat Allah yang memberi hidayah kepada nenek moyang kita secara menyeluruh. Dengan ini terselamatlah kita dari ancaman pertembungan agama. Maka dengan nikmat Allah swt. ini, Bangsa Melayu menjadi bersaudara, laksana sebuah keluarga besar. Justeru itu nikmat ini wajar dipelihara dengan kita mengawasi wabak riddah yang dibawa oleh virus missionaries nasrani dan ajaran-ajaran sesat yang tak pernah kunjung padam. Kita juga harus mengenali ideologi-ideologi ciptaan manusia dan membina benteng untuk menghadapinya kerana ideologi ciptaan manusia adalah jalan pintas kepada riddah.
Bangsa Melayu mempunyai kesatuan aliran pemikiran apabila daerah nusantara menjadi daerah ahlus sunnah wal jamaah dengan mazhab as-Syafi’e menjadi pegangan dalam amal ibadat. Kesatuan mazhab ini adalah nikmat Allah kepada kita sehingga kita terselamat daripada bencana pertelingkahan mazhab. Berapa banyak negeri yang mengalami pertelingkahan mazhab telah membawa kepada bencana keharmonian bermasyarakat dan berapa banyak pula yang berakhir dengan persengketaan dan pertumpahan darah. Negara Iraq adalah sebaik-baik pengajaran bagi yang mahu mengambil pengajaran. Justeru itu kesatuan mazhab termasuk di dalam perkara dharuri demi mengelak api perpecahan dan kehancuran sejajar dengan kaedah-kaedah dalam muqaddimatul wajib. Di dasarkan kepada kaedah-kaedah ini juga maka penyebaran kepada umum, mazhab-mazhab yang mengundang pertelingkahan hendaklah disekat. Umat Islam harus sentiasa waspada dengan penyebaran mazhab salafiyyah dan Syiah. Saranan ini bukan untuk menutup kebebasan berfikir atau menaja ketaksuban bermazhab, sebaliknya setelah menimbangkan permasalahan umat dengan maqasid as-syariah, pertimbangan di antara maslahah dan mafsadah serta keutamaan menutup pintu fitnah yang didasarkan kepada nas syar’ie. Bahkan penyebaran mazhab-mazhab ini di kalangan masyarakat Melayu telah menyemai ketaksuban yang menjelikkan dan menafikan nas-nas yang menggunung tingginya. Biarlah mazhab yang terperangkap di dalam sesuatu dimensi sejarah itu berada di daerahnya sahaja dan tidak melampaui sempadan. Kenalilah mereka dan jauhilah mereka.
Umat Islam di Malaysia juga mempunyai kekuatan institusi –institusi agama yang perlu dipertahan dan diperkasakan. Institusi pondok perlu menjalani proses pemantapan dan pembaharuan. Institusi perundangan seperti mahkamah Syariah dan institusi pentadbiran agama seperti Jabatan Agama perlu kepada islah yang berterusan. Begitu juga institusi agama yang lain. Umat Islam hendaklah melihat institusi ini sebagai asset berharga yang perlu terus didukung sekalipun dalam keadaan kelemahannya demi kebangunan ummah dan survivalnya.
Akhirnya PUK mendoakan agar umat Islam di Malaysia dalam ‘afiah dan ridhaNya.
“Dan bukanlah tujuan aku melarang ini kerana untuk berselisih pendapat denganmu, sebaliknya aku hanya mahukan pembaikan sekadar termampu, tiadalah yang memberi petunjuk melainkan Allah, kepadanyalah aku berserah dan kepadanyalah aku kembali.”
Allahu akbar walillahil hamd.
Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang diPertua
Persatuan Ulama’ Kedah.
10 Zulhijjah, 1429.
Rabu, 5 November 2008
Tawaran Pembiayaan Pengajian Pondok Untuk Anak Yatim.
Syarat-syarat kelayakan:
1. Anak yatim hendaklah berumur antara 13 - 14 tahun.
2. Tidak merokok.
Tawaran terhad kepada 10 orang anak yatim sahaja. Pembiayaan pengajian ditanggung sepenuhnya oleh pusat pengajian. Sesi pengajian akan bermula pada 1 Muharram akan datang. Tawaran berdasarkan prinsip first come first serve.
Untuk keterangan lanjut sila hubungi:
Tuan Mudir,Pondok Pengajian Moden, Repek, Kelantan atau 019 9394185.
PUK WADAH GENERASI ULAMA'
Khamis, 16 Oktober 2008
Kenyataan Media: Isu dasar 50% kuota perumahan
Dari segi sosial dasar ini adalah lebih memberi keadilan kepada masyarakat umum terutama mereka yang masih memerlukan tempat tinggal yang sempurna dengan harga mampu milik. Spekulasi harga menjadikan harga rumah cepat meningkat dan masyarakat bawahan tidak mampu memilikinya. Kesukaran masyarakat umum untuk memiliki kediaman yang selesa dengan harga yang mereka mampu hendaklah diatasi. Isu keperluan perumahan bukan bumiputera juga tidak timbul kerana komposisi mereka sekitar 30% sahaja sedangkan koata yang terbuka dan boleh mereka miliki adalah 50%.
Tidak dinafikan bahawa pihak pemaju akan mengalami sedikit kesukaran untuk menghabiskan jualan rumah dalam tempoh yang singkat. Namun permasalahan ini boleh di atasi dengan pihak pemaju melakukan feasibility studies dan membina rumah yang bersesuaian dengan permintaan pasaran. Pihak pemaju juga mempunyai tanggungjawab sosial yang perlu ditunaikan, di samping membuat keuntungan daripada aktiviti ekonomi. Moga keharmonian hidup bermasyarakat dan berekonomi sentiasa terjamin dalam jangka panjang selaras dengan moto Negara berkebajikan yang mendapat keampunan Tuhan.
Syeikh Abu Bakar Awang
Yang diPertua
Persatuan Ulama Kedah
Jumaat, 10 Oktober 2008
Kenyataan Media: Majlis Hari Raya dan Jamuan Amal PUK
Seterusnya PUK mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang sama ada institusi kerajaan seperti PKNK atau syarikat swasta dan individu yang telah bermurah hati untuk merealisasikan impian tertegaknya Wisma Ulama. Moga Allah jua yang menerima ibadah infaq fisabilillah ini dan memasukkannya di dalam timbangan amal soleh di hari perhitungan kelak. Moga Institusi ulama terus utuh dengan sumbangan ini dan lebih gigih dalam gerak kerjanya insya Allah.
Jumlah yang berjaya dikumpul sehingga majlis semalam adalah RM120, 000 dan dijangkakan akan bertambah kepada RM 270, 000 selepas majlis ini. Jazallahu khairal jaza'.
Khamis, 9 Oktober 2008
Program hari raya
Sabtu, 4 Oktober 2008
Sejarah yang tertulis dengan tinta emas
PENUBUHAN PERSATUAN ULAMAK KEDAH
http://www.mykedah2.com/10heritage/102 4 08.htm
http://www.mykedah.org/artikel-dan-dolumentari/108.html?task=view
Isnin, 29 September 2008
Aktiviti PUK
Projek PUK


MUQADDIMAH
Menyedari keperluan memfasiliti gerak kerja dakwah PUK, maka muktamar Agung PUK ke 18 yang lalu telah meluluskan projek pembinaan Wisma Ulama iaitu sebuah bangunan dua tingkat yang dibina di atas sekeping tanah seluas satu ekar di Kg.Tengah, Derang, Pokok Sena, Kedah. Tanah ini telah dibeli dengan hasil sumbangan orang ramai. Yang berbahagia Dato’ Dr.Harun Din telah merasmikan upacara pecah tanah untuk memulakan projek tersebut pada 21/ 4/ 2007. Fasa pertama pembinaan telah tamat dengan menelan kos sebanyak RM250, 000. Kini projek ini memasuki fasa kedua dengan anggaran kos adalah sebanyak RM300, 000 dan dijangka siap pada Mei 2009. Sumbangan daripada para pencinta wadah ulama adalah dialu-alukan.
MATLAMAT
Wisma Ulama dirancang sebagai:
l Pusat pentadbiran Persatuan Ulama Kedah.
l Pusat pengajian tahfiz al-Qur'an dan maahad ad-duat.
l Pusat pertemuan para ulama dan cendikiawan Islam.
l Pusat Khidmat masyarakat
JAWATANKUASA PEMBINAAN
Wisma Persatuan Ulama Kedah
SYEIKH HAJI ABU BAKAR BIN AWANG AL BAGHDADI
USTAZ ABU BAKAR BIN LEBAI MAT
USTAZ YUSUF BIN MAHMUD
SETIAUSAHA
USTAZ AHMAD KAMALUDIN BIN ABDUL MAJID
BENDAHARI
USTAZ HAJI MUSTAFFA BIN ABDULLAH
AHLI jAWATANKUASA
HAJI MOHD.NOOR BIN OMAR
USTAZ MOHD.AMER BIN OMAR
USTAZ ILYAS BIN ISMAIL

Bagaimana untuk menyumbang:
1. Membeli wakaf lantai Wisma Ulama bernilai RM100 sekaki persegi dan boleh diwakafkan sebagai amal jariah untuk diri atau orang tersayang.
2. Membeli kad undangan jamuan amal aidil fitri bersama YAB Menteri Besar Kedah bernilai RM50.
Untuk keterangan lanjut sila hubungi: Us. Alias 019-5755596 / Us. Mustafa 012-4105705
atau sumbangan terus ke akaun PUK : BIMB 2011010004710

