Isnin, 27 April 2009

Kenyataan Media: Isu Kanak-kanak Kekal Agama Asal

Berhubung keputusan Kabinet yang membenarkan kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas salah seorang pasangan itu menukar agama.
PUK ingin menyatakan rasa kesal, dukacita dan kecewa di atas keputusan tersebut. Keputusan kabinet itu juga melukakan hati NGO-NGO Islam yang bertungkus-lumus melaksanakan tugas dakwah dengan susah-payahnya demi secebis sinar hidayah. Apakah kabinet baru ini gersang dan kontang hati sanubarinya? Apakah mereka tidak ingin cahaya hidayah dinikmati oleh rakyatnya? Ataupun mereka tidak pasti apakah agama ini sama sahaja dengan agama lain yang tidak mempunyai substance dalam legasi kebenarannya.

PUK dengan tegas menyatakan bantahan terhadap keputusan tersebut kerana:

1.Ia bertentangan dengan nas al-Qur’an yang jelas menyatakan ibubapa wajib memastikan apakah agama yang dianuti oleh anak mereka. Keputusan ini menafikan tanggungjawab keibubapaan bagi golongan saudara baru dan menjadikan mereka kecewa serta dalam dilema yang tiada penghujung.
2. Ia bertentangan dengan nas Hadis yang jelas menyatakan anak-anak kecil dalam keadaan fitrah yakni Islam. Ibu bapa dipertanggungjawabkan sepenuhnya dalam pembentukan peribadi mereka.
3. Ia bertentangan dengan sirah Rasul saw. di mana Rasulullah saw. menerima dan mengiktiraf keislaman Saidina Ali r.a. sedangkan beliau ketika itu seorang kanak-kanak.
4. Ia bertentangan dengan naluri manusia yang bersih yang sentiasa mencari kebenaran.
5. Ia tidak menyelesaikan masalah masyarakat bahkan merumitkan lagi keadaan dan menjadikan anak-anak terumbang-ambing tanpa bimbingan.
6. Ia membuka ruang kepada golongan yang mempunyai agenda tersembunyi untuk menangguk di air keruh.
7. Ia seolah-olah menyatakan Islam tidak harus di tawarkan kepada kanak-kanak dan tidak bersesuaian dengan fitrah semulajadi manusia.
8. Ia bertentangan dengan kenyataan PM yang mahu Islam dimartabatkan dalam era baru pemerintahannya.
9. Ia bertentangan dengan Perlembagaan Negara yang memberi hak eksklusif kepada Islam sebagai agama rasmi untuk disebarkan. Sedangkan keputusan kabinet itu telah meletakkan halangan psikologi yang besar untuk seseorang memeluk Islam.
10.Ia bertentangan dengan arus kesedaran yang berlaku di seluruh dunia pada hari ini yang melihat Islam satu-satunya harapan untuk menyelamatkan manusia setelah kegagalan ideology-idelogy moden. Umum mengetahui bahawa ideology-ideology inilah yang menguasai dunia dan menggantikan peranan agama-agama semenjak revolusi industri pada abad ke19.

Oleh itu PUK meminta agar:
1. Kabinet mengkaji semula keputusan tersebut.
2. Kabinet tidak membelakangkan majlis-raja-raja Melayu yang menjadi penaung kepada agama Islam di Malaysia.
3. PUK menyokong kuat kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Brigedier General (B) Dato’ Jamil Khir Baharom yang mahukan perkara ini dirujuk kepada forum yang berautoriti dalam hal ehwal agama seperti Mesyuarat Mufti-mufti.

Akhirnya PUK juga bersedia untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang merasakan Islam telah berlaku tidak adil dalam konteksnya terhadap mereka atau merasa bahawa Islam tidak menjadi rahmat kepada kehidupan mereka, atau merasakan bahawa Islam sama sahaja dengan agama-agama lain yang tidak mempunyai substance terhadap legasi kebenarannya sebagai agama Allah dimukabumi ini.