Khamis, 16 Oktober 2008

Kenyataan Media: Isu dasar 50% kuota perumahan

Selaras dengan memorandum gabungan NGO (WEHDAH) yang menyokong dan mengalu-alukan keputusan kerajaan negeri Kedah untuk melaksanakan dasar 50% kuota perumahan untuk bumiputera disyaratkan kepada semua pemaju dan merujuk bantahan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Kedah/Perlis, maka PUK menyatakan sokongan sepenuhnya kepada keputusan Kerajaan Negeri Kedah Darulaman. PUK berpandangan bahawa langkah ini dapat mengurangkan pekulasi terhadap perumahan di Kedah. Spekulasi terhadap perumahan dalam jangka panjang memberi kesan tidak baik kepada ekonomi negara. Ini kerana spekulasi mendorong kenaikan harga aset secara mendadak sehingga melebihi nilai sebenar sesuatu aset. Keadaan ini digambarkan sebagai gelembung pasaran. Apabila kenaikan sampai kesuatu tahap yang tidak dapat ditampung oleh nilai aset maka gelembung akan pecah. Harga aset akan jatuh merudum kerana nilai sebenar jauh berbeza dengan nilai spekulatif. Justeru itu ia tidak memberi kebaikan kepada ekonomi dan aktiviti perniagaan berhemat, walaupun dalam jangka pendek ia kelihatan menguntungkan.

Dari segi sosial dasar ini adalah lebih memberi keadilan kepada masyarakat umum terutama mereka yang masih memerlukan tempat tinggal yang sempurna dengan harga mampu milik. Spekulasi harga menjadikan harga rumah cepat meningkat dan masyarakat bawahan tidak mampu memilikinya. Kesukaran masyarakat umum untuk memiliki kediaman yang selesa dengan harga yang mereka mampu hendaklah diatasi. Isu keperluan perumahan bukan bumiputera juga tidak timbul kerana komposisi mereka sekitar 30% sahaja sedangkan koata yang terbuka dan boleh mereka miliki adalah 50%.

Tidak dinafikan bahawa pihak pemaju akan mengalami sedikit kesukaran untuk menghabiskan jualan rumah dalam tempoh yang singkat. Namun permasalahan ini boleh di atasi dengan pihak pemaju melakukan feasibility studies dan membina rumah yang bersesuaian dengan permintaan pasaran. Pihak pemaju juga mempunyai tanggungjawab sosial yang perlu ditunaikan, di samping membuat keuntungan daripada aktiviti ekonomi. Moga keharmonian hidup bermasyarakat dan berekonomi sentiasa terjamin dalam jangka panjang selaras dengan moto Negara berkebajikan yang mendapat keampunan Tuhan.

Syeikh Abu Bakar Awang
Yang diPertua
Persatuan Ulama Kedah

Jumaat, 10 Oktober 2008

Kenyataan Media: Majlis Hari Raya dan Jamuan Amal PUK

Persatuan Ulama Kedah memanjat sepenuh kesyukuran kepada Ilahi dan sekalung penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program Majlis Hari raya dan jamuan amal terutamanya kepada Kerajaan Negeri Kedah yang telah membenarkan PUK menggunakan Dewan Sri Mentaloon di kediaman rasmi Menteri Besar sebagai tempat perhimpunan. Penghargaan juga kepada YB Ir. Hj. Amiruddin Hamzah yang mewakili YAB. Menteri Besar dalam perasmian majlis. Moga Allah memberkatinya dan mengangkat darjatnya di dunia dan di akhirat. PUK juga mendoakan agar YAB. Menteri Besar dikurniakan Allah kesembuhan yang segera dan kekuatan dariNya untuk terus mentadbir Negeri Kedah ke arah kesejahteraan rakyat seluruhnya.

Seterusnya PUK mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang sama ada institusi kerajaan seperti PKNK atau syarikat swasta dan individu yang telah bermurah hati untuk merealisasikan impian tertegaknya Wisma Ulama. Moga Allah jua yang menerima ibadah infaq fisabilillah ini dan memasukkannya di dalam timbangan amal soleh di hari perhitungan kelak. Moga Institusi ulama terus utuh dengan sumbangan ini dan lebih gigih dalam gerak kerjanya insya Allah.

Jumlah yang berjaya dikumpul sehingga majlis semalam adalah RM120, 000 dan dijangkakan akan bertambah kepada RM 270, 000 selepas majlis ini. Jazallahu khairal jaza'.

Khamis, 9 Oktober 2008

Program hari raya


Majlis hariraya dan Jamuan amal PUK bersama YAB. Menteri Besar Kedah Us.Hj. Azizan b. Hj. Abd. Razak.

Sabtu, 4 Oktober 2008

Sejarah yang tertulis dengan tinta emas

Sejarah Persatuan Ulama Kedah dapat ditelusuri melalui arkib yang tersimpan di Muzium Kedah atau melalui link dibawah:

PENUBUHAN PERSATUAN ULAMAK KEDAH


http://www.mykedah2.com/10heritage/102 4 08.htm

http://www.mykedah.org/artikel-dan-dolumentari/108.html?task=view