Isnin, 8 April 2013

KENYATAAN MEDIA PERSATUAN ULAMA KEDAH BERKAITAN PRU KE13









الحمد لله الذي بيده ملكوت كل شيئ وهو يجير ولا يجار عليه والصلاة والسلام على المصطفى الأخيار وآله الأطهار وأصحابه المختار وأتباعه الأبرار.

PUK ingin menegaskan bahawa di antara tanda keagungan Ilahi dan bukti kekuasaan kerajaan langit ialah berkuasanya Allah swt. menggantikan mana-mana kerajaan yang dikehendakinya. Sama sahaja seperti Allah menggantikan siang dengan malam dan matahari dengan bulan. Kerajaan adalah lambang kekuasaan. Apabila Allah ingin menzahirkan kekuasaan dan kebesaranNya maka ia menukar sesuatu yang paling berkuasa di mata manusia, agar manusia dapat merasai betapa hebatnya kekuasaan Allah sehinggga semua kuasa berada dibawah telapak kekuasaanNya yang esa. Dialah Allah yang sebenarnya melindungi  sesuatu bangsa dan umat walaupun kerajaan bertukar-ganti. Demikianlah keyakinan yang wajar tertanam di dada umat Islam terutamanya tok-tok guru tuan-tuan kadi, imam-imam serta para agamawan seluruhnya.

PUK ingin mengingatkan umat  Islam bahawa setiap kerajaan di atas mukabumi telah ditetapkan ajalnya oleh Allah, walau betapa sayangnya kita kepada sesebuah kerajaan itu, ia tetap akan pergi jua. marilah kita menerima dengan redha pemergian sesebuah kerajaan yang ditaqdirkan pergi dan berusaha menggantikannya dengan yang lebih baik. Berapa banyak kerajaan diambil oleh Allah bila tiba ajalnya. Kerajaan khilafah arrasyidin adalah khilafah yang terbaik tetapi ia berakhir jua. Kemudian satu persatu kerajaan datang dan pergi silih berganti.

Ketika umat islam tertanya tanya apakah pendirian PUK dalam isu pilihanraya yang sedang hangat diperkatakan sekarang. Apakah wajar PUK menjadi pemerhati sahaja melihat umat yang bergelut untuk melakar masa depan mereka. hingga timbul isu perpecahan, terancamnya agama  dan juga hilangnya bangsa. PUK tidak wajar bersikap sedemikian dan tidak wajar juga bersikap bias semata-mata menurut sentimen politik kepartian. PUK hendaklah berada bersama kepentingan agama dan umat keseluruhannya. justeru itu setelah mengamati dengan teliti perkembangan semasa dan kepentingan umat Islam maka PUK mengambil pendirian berikut:
  1. PUK menyeru umat islam berpolitik dengan akhlak yang tinggi sebagaimana akhlak para nabi iaitu menjunjung kebenaran (siddiq), melaksanakan amanah, menyampaikan fakta (tabligh) dan bertindak dengan bijaksana (fatanah), serta menolak budaya samseng, menyalahguna hartabenda negara dan menyebar fitnah.

  1. Menyokong pendirian Dewan Ulama Pas Kedah untuk bersama mengekalkan kepimpinan kerajaan negeri Kedah yang sedia ada. Sikap ini bukan berdasar kecenderungan politik kepartian tetapi setelah menilai situasi semasa dan (tanzil nas ala al-waqi’) iaitu menurunkan nas nas syarie ke dalam realiti. Mengamati (maslahah) kepentingan ummah yang ditekankan di dalam kaedah feqah siyasi.

  1. Hasrat kepimpinan kerajaan negeri sekarang untuk menjadikan negeri ini baldah tayyibah atau negara kebajikan yang mendapat keampunan Tuhan, adalah selari dengan perjuangan para nabi dan rasul, walaupun diakui masih wujud kelemahan daripada aspek pelaksanaan tetapi dari pemerhatian PUK dasarnya masih kekal bertepatan dengan syarak

  1. Tidak ada tindakan yang diluluskan oleh kerajaan negeri yang boleh dikategorikan sebagai dosa besar atau perkara yang melucutkan kelayakan (salahiyyah) seseorang pemimpin Islam sebagaimana yang digariskan oleh para fuqaha kenegaraan Islam.
  2. Gaya kepimpinan seseorang pemimpin walaupun kurang disenangi ramai, bukanlah alasan syarie untuk menolak kepimpinannya selagi ia tidak menzahirkan maksiat secara terang terangan.
  3. Para ulama muktabar menyarankan umat Islam bersabar dalam menghadapi situasi di atas sehingga Allah mendatangkan kelegaan kepada mereka.
  4. Para ulama bebas berijtihad dalam pandangan politik mereka tetapi hendaklah mengemukakan asas syarie yang kukuh dan pandangan para ulama yang muktabar untuk menyokong pandangan mereka agar umat tidak keliru serta mudah untuk mereka memahami sesuatu isu.
  5. Para ulama hendaklah menjauhi fitnah kebendaan dan kilauan dunia yang menggoda, agar mereka dapat menjadi bintang yang bersinar memandu umat kepada kebenaran. Jauhilah daripada menjadi penyebar budaya lucah dan fitnah dengan alasan alasan yang tidak syarie. Lebih baik bagi para ilmuan itu mengemukakan gagasan ilmunya daripada menyebarkan fitnah yang telah cuba dibuktikan secara bersungguh-sungguh selama 14 tahun tetapi tetap gagal dengan kehendak yang maha Esa.

عن ابي تميم الداري عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: الدين النصيحة قالوا لمن، قال: لله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين وعامتهم
Syeikh Yusuf Mahmud YDP PUK