Ahad, 28 September 2008

Misi dan Visi PUK

Memahami bahawa tugas Ulama’ sebagai Warathatul Anbia' amat berat terutama dalam keadaan cabaran semakin bertambah. Ulama’ perlu bersedia dan melengkapkan diri dengan ilmu, kemahiran dan siasah kepimpinan yang diperlukan, disamping banyak memahami dan menganalisis permasalahan umat semasa. Ulama’ perlu bijaksana dalam merancang, menjana program tindakan untuk dilaksanakan.

Menginsafi bahawa umat sedang menghadapi berbagai masalah dan cabaran sama ada berbentuk lokal atau global. Sikap ulama dan umat haruslah terus positif bahawa tiada masalah yang tidak dapat ditangani dan diatasi asalkan semangat berjihad dan berkorban untuk Islam disuburkan. Sikap pertama yang harus dipupuk ialah melihat masalah itu sebagai peluang dan cabaran, bukan penghalang.

Mengingati bahawa golongan Ulama’ secara kolektifnya, masih mempunyai kelemahan dan kekangan yang perlu diatasi segera, kelemahan tersebut termasuk kekurangan menterjemahkan potensi dan meningkatkan kemahiran berorganisasi, keengganan berjuang dalam wadah Ulama’ kerana kepentingan yang sementara. Akibatnya berlaku pengabaian usaha membasmi kejahilan umat. Ulama’ berpecah, umat sengsara dan parah.

Mewaspadai taktik dan rancangan golongan yang memusuhi Islam melalui pelbagai cara sama ada secara terang atau tersembunyi, berposisi lokal, nasional atau global. Maka, para Ulama’ perlu bangkit, bertindak, menyatukan saf, menguatkan perpaduan dan integriti serta berusaha secara jama’i menghadapi tentangan musuh dengan strategi yang lebih berkesan.