Khamis, 16 Oktober 2008

Kenyataan Media: Isu dasar 50% kuota perumahan

Selaras dengan memorandum gabungan NGO (WEHDAH) yang menyokong dan mengalu-alukan keputusan kerajaan negeri Kedah untuk melaksanakan dasar 50% kuota perumahan untuk bumiputera disyaratkan kepada semua pemaju dan merujuk bantahan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Kedah/Perlis, maka PUK menyatakan sokongan sepenuhnya kepada keputusan Kerajaan Negeri Kedah Darulaman. PUK berpandangan bahawa langkah ini dapat mengurangkan pekulasi terhadap perumahan di Kedah. Spekulasi terhadap perumahan dalam jangka panjang memberi kesan tidak baik kepada ekonomi negara. Ini kerana spekulasi mendorong kenaikan harga aset secara mendadak sehingga melebihi nilai sebenar sesuatu aset. Keadaan ini digambarkan sebagai gelembung pasaran. Apabila kenaikan sampai kesuatu tahap yang tidak dapat ditampung oleh nilai aset maka gelembung akan pecah. Harga aset akan jatuh merudum kerana nilai sebenar jauh berbeza dengan nilai spekulatif. Justeru itu ia tidak memberi kebaikan kepada ekonomi dan aktiviti perniagaan berhemat, walaupun dalam jangka pendek ia kelihatan menguntungkan.

Dari segi sosial dasar ini adalah lebih memberi keadilan kepada masyarakat umum terutama mereka yang masih memerlukan tempat tinggal yang sempurna dengan harga mampu milik. Spekulasi harga menjadikan harga rumah cepat meningkat dan masyarakat bawahan tidak mampu memilikinya. Kesukaran masyarakat umum untuk memiliki kediaman yang selesa dengan harga yang mereka mampu hendaklah diatasi. Isu keperluan perumahan bukan bumiputera juga tidak timbul kerana komposisi mereka sekitar 30% sahaja sedangkan koata yang terbuka dan boleh mereka miliki adalah 50%.

Tidak dinafikan bahawa pihak pemaju akan mengalami sedikit kesukaran untuk menghabiskan jualan rumah dalam tempoh yang singkat. Namun permasalahan ini boleh di atasi dengan pihak pemaju melakukan feasibility studies dan membina rumah yang bersesuaian dengan permintaan pasaran. Pihak pemaju juga mempunyai tanggungjawab sosial yang perlu ditunaikan, di samping membuat keuntungan daripada aktiviti ekonomi. Moga keharmonian hidup bermasyarakat dan berekonomi sentiasa terjamin dalam jangka panjang selaras dengan moto Negara berkebajikan yang mendapat keampunan Tuhan.

Syeikh Abu Bakar Awang
Yang diPertua
Persatuan Ulama Kedah