Ahad, 7 Disember 2008

Warkah Eidul Adha Yg. diPertua PUK.

Segala pujian bagi Allah swt. yang mensyariatkan eidil adha atau hari raya korban sebagai salah satu daripada hari-hari kebesaran Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad saw. yang meneruskan sunnah bapa agama ini, Nabi Allah Ibrahim a.s. yang sanggup mengorbankan anaknya Nabi Allah Ismail a.s. demi menjunjung tinggi perintah Allah swt. agar kelak menjadi pengajaran kepada umat Islam bahawa agama ini menuntut pengorbanan yang mahal daripada mereka. Islam laksana puteri raja, sesiapa yang ingin mengahwininya mestilah bersedia membayar mahar yang mahal harganya. Selawat dan salam kepada ahli bayt baginda yang suci belaka, para sahabat terbilang yang bintangnya terang menyinari jejak umat ini. Maka umat yang mengikuti sesiapa di kalangan mereka adalah dibawah sinar petunjuk Ilahi. Seterusnya para tabi’in yang mendapat kemuliaan suhbah assahabah, para ulama dan mujtahidin di sepanjang zaman, para pejuang dan pendakwah yang menjadi lilin yang membakar diri demi menerangi malam yang gelap gelita, umat yang istiqamah di zaman yang penuh pancaroba, selawat dan salam untuk semuanya.

Persatuan Ulama’ Kedah ingin memberi ucapan tahniah dan taqabbalallah minna wa minkum kepada ahlinya, para penyokongnya dan seluruh umat Islam sempena kedatangan eidul adha ini. Moga kita dapat menyambutnya dengan penuh rasa syukur di atas nikmat Allah swt. dan moga kesediaan kita bertambah tinggi untuk menggunakan nikmat Allah bagi melaksanakan ibadah korban secara khusus dan pengorbanan untuk agama ini secara amnya.

Bersempena eidul adha ini juga PUK ingin mengingatkan kembali seluruh umat Islam di Malaysia tentang nikmat Allah yang menjadi akar kekuatan umat ini yang perlu disedari, dipelihara malah diperkasakan lagi.

Rahsia kekuatan kita terletak di atas kata kunci kesatuan yang masih dapat dipertahankan sehingga hari ini. Bangsa Melayu memiliki kesatuan aqidah lantaran nikmat Allah yang memberi hidayah kepada nenek moyang kita secara menyeluruh. Dengan ini terselamatlah kita dari ancaman pertembungan agama. Maka dengan nikmat Allah swt. ini, Bangsa Melayu menjadi bersaudara, laksana sebuah keluarga besar. Justeru itu nikmat ini wajar dipelihara dengan kita mengawasi wabak riddah yang dibawa oleh virus missionaries nasrani dan ajaran-ajaran sesat yang tak pernah kunjung padam. Kita juga harus mengenali ideologi-ideologi ciptaan manusia dan membina benteng untuk menghadapinya kerana ideologi ciptaan manusia adalah jalan pintas kepada riddah.

Bangsa Melayu mempunyai kesatuan aliran pemikiran apabila daerah nusantara menjadi daerah ahlus sunnah wal jamaah dengan mazhab as-Syafi’e menjadi pegangan dalam amal ibadat. Kesatuan mazhab ini adalah nikmat Allah kepada kita sehingga kita terselamat daripada bencana pertelingkahan mazhab. Berapa banyak negeri yang mengalami pertelingkahan mazhab telah membawa kepada bencana keharmonian bermasyarakat dan berapa banyak pula yang berakhir dengan persengketaan dan pertumpahan darah. Negara Iraq adalah sebaik-baik pengajaran bagi yang mahu mengambil pengajaran. Justeru itu kesatuan mazhab termasuk di dalam perkara dharuri demi mengelak api perpecahan dan kehancuran sejajar dengan kaedah-kaedah dalam muqaddimatul wajib. Di dasarkan kepada kaedah-kaedah ini juga maka penyebaran kepada umum, mazhab-mazhab yang mengundang pertelingkahan hendaklah disekat. Umat Islam harus sentiasa waspada dengan penyebaran mazhab salafiyyah dan Syiah. Saranan ini bukan untuk menutup kebebasan berfikir atau menaja ketaksuban bermazhab, sebaliknya setelah menimbangkan permasalahan umat dengan maqasid as-syariah, pertimbangan di antara maslahah dan mafsadah serta keutamaan menutup pintu fitnah yang didasarkan kepada nas syar’ie. Bahkan penyebaran mazhab-mazhab ini di kalangan masyarakat Melayu telah menyemai ketaksuban yang menjelikkan dan menafikan nas-nas yang menggunung tingginya. Biarlah mazhab yang terperangkap di dalam sesuatu dimensi sejarah itu berada di daerahnya sahaja dan tidak melampaui sempadan. Kenalilah mereka dan jauhilah mereka.

Umat Islam di Malaysia juga mempunyai kekuatan institusi –institusi agama yang perlu dipertahan dan diperkasakan. Institusi pondok perlu menjalani proses pemantapan dan pembaharuan. Institusi perundangan seperti mahkamah Syariah dan institusi pentadbiran agama seperti Jabatan Agama perlu kepada islah yang berterusan. Begitu juga institusi agama yang lain. Umat Islam hendaklah melihat institusi ini sebagai asset berharga yang perlu terus didukung sekalipun dalam keadaan kelemahannya demi kebangunan ummah dan survivalnya.

Akhirnya PUK mendoakan agar umat Islam di Malaysia dalam ‘afiah dan ridhaNya.
“Dan bukanlah tujuan aku melarang ini kerana untuk berselisih pendapat denganmu, sebaliknya aku hanya mahukan pembaikan sekadar termampu, tiadalah yang memberi petunjuk melainkan Allah, kepadanyalah aku berserah dan kepadanyalah aku kembali.”

Allahu akbar walillahil hamd.

Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang diPertua
Persatuan Ulama’ Kedah.
10 Zulhijjah, 1429.