Sabtu, 27 Disember 2008

Palestin Memanggil

Segala pujian milik Allah yang mensyariatkan ibadatul qital. Selawat dan salam kepada nabi Muhammad s.a.w., pembawa panji-panji rahmat dan panji-panji peperangan, juga kepada keluarganya, para pejuang badar khususnya dan amnya kepada seluruh pejuang Islam sama ada mereka yang telah menemui Tuhannya atau yang sedang menanti.

Bumi Palestin adalah tempat isra’ Rasulullah s.a.w. dan masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam. Hari ini bumi perjuangan ini dibasahi darah lagi dengan keganasan Israel mengebom Bandar Ghazzah, membunuh sehingga kini seramai 380 orang awam dan mencederakan lebih 1500 lagi. Merekalah yang membatalkan perjanjian damai kali ini sebagaimana mereka telah membatalkannya berkali-kali sebelumnya dengan tujuan khianat dan pencerobohan.

Apa yang dikesalkan, ketika pengeboman Mumbai, seluruh dunia gegak gempita mengutuk peristiwa tersebut. Sebaliknya apabila pembunuhan beramai-ramai di Palestin berlaku, sunyi sepi. Kenapa?, ialah kerana mereka umat Islam.

Umat Islam adalah umat yang bersaudara tanpa garisan sempadan Negara dan bangsa. Jika seorang sahaja mengadu sakit, maka seluruh umat akan merasainya. Maka di atas kesedaran dan rasa tanggungjawab ini PUK menyeru seluruh umat Islam supaya menunjukkan rasa prihatin kepada nasib saudara kita di Palestin dengan mendoakan kesejahteraan mereka di dalam solat mereka dan menjadikannya sebagai bahan dalam perbincangan dan tulisan mereka. PUK juga menyarankan agar setiap masjid dan surau mengadakan solat hajat dan penerangan kepada masyarakat untuk menyemai rasa persaudaraan sejagat dan menanam ruh perjuangan di dalam jiwa generasi muda. PUK menyarankan agar setiap khatib menjadikan Khutbah Jumaat yang terdekat sebagai media terbaik untuk tujuan ini. Tukarkanlah rintihan dan air mata kesedihan kepada api yang membara. Sesungguhnya akan tiba masanya umat Islam dari seluruh pelusuk dunia berangkat ke Palestin sebagaimana umat Islam berangkat ke Makkah al-Mukarramah.

“Barangsiapa menginginkan kemuliaan, Maka ketahuilah bahawa segala kemuliaan itu adalah milik Allah, kepadanya diangkat naik setiap perkataan yang baik dan amal yang saleh. Dan orang-orang yang merencanakan kejahatan itu disediakan untuk mereka azab seksa yang perit dan perencanaan jahat mereka akan musnah binasa.” (Surah Fatir: 10.)