Jumaat, 21 Mei 2010

STRATEGI PENCEGAHAN GEJALA SOSIAL MASYARAKAT DAN PERANAN MASJID

التوبة : 18
“Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka terdiri dari golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.”


Pendahuluan.

Sebelum sebarang langkah untuk merumuskan pendekatan dan pencegahan yang berkesan dalam menyantuni masyarakat khususnya golongan belia dan remaja, kepimpinan masjid harus meneliti kedudukan mereka secara mendalam serta situasi dan kondisi mereka yang sedia ada. Beberapa pengamatan dapat dinyatakan dalam hal ini iaitu;

1. Wujudnya tanggapan bahawa masjid hanya sesuai untuk pesara atau orang-orang tua.

2. Struktur kepimpinan masjid tidak memberi ruang dan peluang penyertaan anak muda secara langsung dalam pembangunan masjid.

3. Masjid tidak dikembangkan untuk memberi perhatian kepada permasalahan belia dan remaja.

4. Kegiatan masjid sangat cenderung kepada memenuhi keperluan orang-orang dewasa dan tua sahaja.

5. Belia dan remaja tidak terbimbing dalam aktiviti yang sesuai untuk mendekatkan diri mereka kepada masjid.


Dalam analisis khidmat tersebut umumnya masjid tidak mengembangkan aktivitinya untuk melihat persoalan-persoalan masyarakat dengan lebih luas seperti:

1. Pendidikan kekeluargaan.
2. Pembangunan belia dan remaja.
3. Pegurusan kebajikan golongan tidak bernasib baik.
4. Kecemerlangan persekolahan anak-anak.
5. Masalah-masalah keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat.
6. Pembangunan rakyat termiskin.
7. Kemudahan membaca.
8. Pengukuhan ekonomi anak kariah.
9. Peningkatan kualiti dan taraf hidup anak kariah.
10. Pengindahan kawasan kariah.
11. Pendidikan dewasa.
12. Pusat pendidikan kanak-kanak.
13. Pendidikan kaum wanita.
14. Khidmat kaunseling remaja.
15. Pembangunan kesihatan anak kariah.
16. Bimbingan kerjaya belia.
17. Pembangunan sumber tempatan.
18. Khidmat penyebaran maklumat semasa.
19. Khidmat pusat musyawarah anak kariah
20. Khidmat bantuan perbelanjaan persekolahan
21. Khidmat pusat pembangunan kepimpinan masyarakat
22. Khidmat penyelesaian konflik komuniti
23. Khidmat nasihat persediaan perkahwinan
24. Khidmat pusat bantuan kecemasan
25. Khidmat membangun organisasi masyarakat setempat.
26. Pusat kaunseling pekerja industri.

Semua aspek tersebut adalah bidang dan medan kerja kepimpinan masjid yang boleh benar-benar menjadikan masjid sebagai Pusat Pembangunan dan Kemajuan Masyarakat yang sebenar.

Persoalan-persoalan dan masalah-masalah yang kini sedang berlaku di dalam masyarakat memerlukan perubahan paradigma yang besar dalam gerakkerja masjid. Hanya melalui keperihatinan dari masjid sahajalah akan menempatkan fungsi masjid ditengah-tengah hati nuraini komuniti lingkungannya. Keperihatinan kepimpinan masjid terhadap keperluan komuniti sekitarnyalah akan menambat masyarakat untuk mendampingi masjid dalam semua hal ehwal kehidupan mereka.

Dari pengamatan di atas natijah yang berlaku ialah kelompok belia dan remaja kian menjarak dari masjid. Dengan demikian, keberkaitan hidup anak muda dengan masjid tidak berlaku dan pembinaan tidak dapat dilaksanakan secara berkesan. Akhirnya mereka akan terlibat dan terjebak dalam aktiviti-aktiviti maksiat dan munkarat.

Pihak kami sedang meneliti fenomena ini dengan insaf bahawa suatu pendekatan yang berkesan perlu dirumus dan diimplementasikan. Namun begitu beberapa prasyarakat perlu dipenuhi sebagai upaya untuk memastikan pendekatan yang diambil akan berkesan;


a. Keterbukaan kepimpinan masjid.

Iaitu perlu ada keterbukaan yang membenarkan serta memberi keyakinan kepada belia dan remaja bahawa penglibatan mereka amat perlu dan penting. Keterbukaan ini akan membenarkan belia dan remaja diberi peluang turut serta dalam merancang serta melaksanakan aktiviti yang sesuai dan berciri ‘kebeliaan’ dan ‘kepemudaan’.

b. Melibatkan belia dan remaja dalam struktur jawatankuasa kariah.

Jawatankuasa kariah perlu menyemak kemungkinan untuk memastikan penyertaan belia dan remaja secara formal dalam menentukan ‘kerusi’ kepada belia dan remaja dalam jawatankuasa kariah perlu didahulukan sebagai laluan untuk menarik minat kehadiran dan penyertaan mereka.

c. Aktiviti masjid perlu mewujudkan hubungan dengan belia.

Kehadiran belia dan remaja akan hanya terjamin jika aktiviti yang dilaksanakan ‘berkait’, ‘berkenaan’ dan ‘bersesuaian’ dengan keperluan belia dan remaja. Justeru itu, pihak masjid perlu menggiatkan aktiviti yang secocok dan cukup merangsang minat mereka.


PENDEKATAN

Pendekatan masjid untuk menjangkau kelompok belia dan remaja sememangnya tidak mudah. Kesedaran dan komitmen dari kepimpinan masjid perlu dicetuskan secara tulen untuk menghulurkan tangan kasih serta ‘harapan keyakinan’ bahawa anak-anak muda memang boleh dididik. Sesungguhnya kita perlu membuktikan dedikasi masa, tenaga dan upaya kita untuk membangunkan mereka.

Bagaimanapun pendekatan kita tetap diterjemahkan berdasarkan beberapa asas hubungan kita dengan mereka iaitu;


1. Hubungan Nasihat.

Kelompok anak muda perlu diberikan dengan nasihat-nasihat yang ‘bernas’, ‘tepat’ dan ‘padat’. Apa yang perlu dielakkan ialah leteran yang boleh menimbulkan kebosanan. Kepimpinan masjid harus membina hubungan nasihat dengan kelompok belia dan remaja ini agar mereka tidak jemu datang ke masjid.


2. Hubungan Teladan.

Hubungan teladan ini menjadi penentu kepada kepercayaan anak muda terhadap kepimpinan masjid. Tingkahlaku, percakapan, pengurusan, disiplin, kejujuran dan kesungguhan barisan kepimpinan masjid akan terus menjadi perhatian anak muda. Ketelusan keperibadian kepimpinan masjid sering dituntut agar menyakinkan anak muda untuk turut serta dalam kegiatan-kegiatan pengimarahan masjid.


3. Hubungan Kasih Sayang.

Masjid harus dirasakan sebagai ‘ibu’ kepada masyarakat amnya dan anak muda khususnya. Hubungan yang membina perasaan kasih sayang bukan benci, sayang bukan herdik, lembut bukan kasar, membelai bukan mengutuk dan memujuk bukan menyerang, perlu disuburkan antara anak muda dengan kepimpinan masjid.


4. Hubungan Membimbing.

Masjid harus dirasakan sebagai pusat kaunseling yang berkesan bagi menyantuni alam kebeliaan dan keremajaan. Membimbing dengan aktiviti yang melengkapkan diri mereka dengan wawasan dan gagasan hidup yang tertib dan teratur akan lebih menambat hati nuraini mereka dengan masjid.

Berasaskan hubungan-hubungan ini, pendekatan berikut dicadangkan untuk digunapakai;


a. Bina Keilmuan Belia dan Remaja

Keilmuan amat asasi dalam pembinaan kelompok belia dan remaja. Penekanan yang wajar kepada kegiatan-kegiatan belia dan remaja yang berteraskan kefahaman dan penghayatan ilmu-ilmu Islam adalah pendekatan yang perlu diutamakan.

Dalam hal ini, penekanan ilmu agama yang asas bagi melengkapkan belia dan remaja dengan pengetahuan fardhu ain adalah penting dengan tidak pula mengabaikan kelilmuan mereka mengenai hal-hal fardu kifayah.

b. Bina Keperibadian Belia.

Masjid setepatnya berperanan untuk membina sahsiah yang luhur di dalam masyarakat. Kekuatan sahsiah adalah benteng bagi menangkis krisis moral yang melanda dan membarah di kalangan masyarakat masa kini.

Dengan yang demikian, pendekatan membina keperibadian belia dan remaja juga merupakan teras dalam menjayakan pembangunan masjid. Belia dan remaja yang dibangunkan kemurnian akhlaknya akan menjadi harapan kepada perkembangan masyarakat yang berpedoman, murni dan harmonis.


Isi pembinaan sahsiah juga harus menjurus kepada;

1. Pembentukan matlamat hidup.
2. Penegasan harga hidup.
3. Penekanan kesucian hidup.


c. Bina Kepimpinan Belia dan Remaja.

Aspek kepimpinan adalah kemuncak pembinaan yang perlu dicapai oleh masjid dalam menggerakkan kelompok belia dan remaja.

Pembinaan kepimpinan belia dan remaja memerlukan kebijaksanaan yang tepat dari pendokong masjid agar tidak berlaku kepincangan dan kebuntuan dalam membangun pelapis.

Masjid perlu membuat tapisan yang tepat agar dapat mewujudkan kelompok terpilih dari kalangan belia dan remaja bagi menjalani latihan yang ada kaitan dengan kefahaman, kemahiran dan kecekapan kepimpinan. Yang demikian hal ehwal pengurusan masjid perlu dijadikan sukatan latihan untuk belia dan remaja, disamping aspek lain termasuk penyampaian khutbah, memimpin majlis, merancang aktiviti, keceriaan, kebersihan, kursus smart solat serta mengendalikan urusan kewangan masjid.


KEMAHIRAN

Kemahiran untuk mengandalikan organisasi masjid adalah kecekapan dalam merancang, mengimplementasi, memantau dan menggerakkan susulan untuk mencapai keberkesanan maksima ketika menggerak sebarang tugas yang dilaksanakan untuk menghasilkan impak yang dihajati oleh organisasi masjid untuk memberi khidmat kepada masyarakat.


KEMAHIRAN melibatkan:

• Ketelitian.
• Keterperincian.
• Kerapian.
• Kekemasan.
• Ketekunan.
• Kecemerlangan.


KEMAHIRAN adalah berasaskan:

• Keilmuan.
• Informasi terkini.
• Teknologi berkesan.
• Pertimbangan dan perhitungan yang teliti.



PENUTUP

Pendektan yang berkesan hanya dapat direalisasikan melalui kesungguhan dan kerapian pihak Jawatankuasa Kariah Masjid. Pembangunan belia dan remaja adalah rukun kepada kesinambungan budaya dan tamadun ummah (كنتم خيرأمة) yang hendak dibina. Matlamat tetap sama, walaupun kaedah dan pendekatan mungkin berlaian antara satu kariah dengan kariah yang lain.

Rabu, 12 Mei 2010

KONSEP DA’WAH BERSEPADU

Sudah sampai masanya peranan Ulama’ dan Da’i diperkasakan yang tidak hanya tertumpu pada pengajian khusus di masjid-masjid, surau-surau dan dalam bilik-bilik kuliah sahaja. Namun harus berintegrasi dengan semua hal dan beraksi secara internal dan external. Kami berharap, konsep-konsep da’wah ini dapat memberikan pencerahan terhadap semua aktivis da’wah. Kami juga berharap agar konsep-konsep dakwah bersepadu dapat difahami, direnugkan dan bahkan dapat dipraktikkan sehingga mampu memberikan kontribusi yang signifikan terhadap da’wah. Kami juga berharap, kita semua akan menjadi aktivis da’wah yang menyeru kepada agama Allah (دين الله) dengan konsep yang diingini oleh Allah dan RasulNya.

Urusan da'wah memerlukan konsep yang cemerlang dan metode serta media yang baik. Harus diingat, adakah ianya sesuatu yang lebih agung dibandingkan dengan seruan kepada Allah?. Apakah ada sesuatu yang lebih pantas untuk diiukti oleh seorang yang beriman dibandingkan rombongan para Nabi dan Rasul serta kafilah para aktivis da'wah dan para reformis da'wah?.

Firman Allah s.w.t. Dalam Surah Fushshilat, Ayat 33 bermaksud:

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal salih dan berkata, Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri”.

Da'wah Islam ini dimaknai sebagai seruan kepada seluruh lapisan masyarakat dari berbagai agama untuk memeluk Islam baik secara aqidah, syariat, maupun aturan hidup. Da'wah Islam bukanlah seperti yang disalahfahami oleh sebagian orang, yang beranggapan da'wah adalah sesuatu tugas sampingan yang menyeru untuk kepentingan kelompok tertentu atau kepentingan seseorang.

Da'wah Islam tidak hanya untuk kepentingan organisasi, kelompok dan seumpamanya, melainkan untuk seluruh umat manusia di buka bumi ini.

Pemahaman terhadap konsep-konsep da'wah adalah sesuatu yang kompleks, jauh lebih kompleks dibandingkan dengan sekadar mekanisme, metode, dan media da'wah saja. Kita perlu membahas “konsep-konsep da'wah” yang mencakupi tinjauan dari pelbagai segi.

1. Konsep da'wah dari segi aqidah.
2. Konsep da'wah dari segi ibadah.
3. Konsep da'wah dari segi asas-asas dan dan sumber-sumber da'wah.
4. Konsep da'wah dari segi penyelesaian berbagai rintangan dan problematika di jalan da'wah.
5. Konsep da'wah secara umum.

Konsep-konsep tersebut tidak dapat dirumuskan dengan baik kecuali diambil dan dihayati dari Al-Quran, Sunnah dan ajaran Rasulullah s.a.w., serta selaras dengan perilaku khulafaa'-urasyidin, para ulama' dan para aktivis da'wah yang mengikuti sunnah dan petunjuk mereka.

Konsep-konsep ini tidak akan terwujud tanpa kemampuan memahami realiti yang terjadi dalam masyarakat dan merenungkan kondisi-kondisi objek da'wah Islam sekarang ini. Jika tidak begitu, da'wah tak ubahnya seperti masuk ke dalam rumah tanpa melewati pintu yang semestinya! Bagai meletak barang tidak pada tempatnya. Akibatnya sang aktivis da'wah tidak akan berlaku baik meskipun sebenarnya ia menginginkan kebaikan. Justeru itu akan membuat orang lari jauh meninggalkan kita pada hal kita ingin mengajak orang senang kepada da'wahnya.

Oleh itu kerana itu, yang paling mendasar ialah seorang aktivis da'wah harus memiliki wawasan yang luas tentang urusan agama dan da'wahnya, kemudian mengetahui kondisi realiti masyarakat sekitarnya, sebagaimana dua syarat pokok utama untuk memperolehi kesuksesan da'wah di hadapan Allah, iaitu;

1. Ikhlas berda'wah kerana Allah.
2. Tepat dan strategi dalam mekanisma serta metodenya.

Dua syarat ini merupakan kunci kesuksesan da’wah dan syarat penerimaannya di hadapan Allah. Dengan itulah, ia akan mendapatkan Rahmat dan Keridhaan Allah serta akan diampuni dosa-dosanya. Kelayakan untuk diterimanya amalan dan menuai hasil komitmen awal yang dilakukan tersebut sesuai dengan apa yang telah difirman oleh Allah, surah Al-Ahzab, 70-71 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang Yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan Katakanlah perkataan Yang tepat - benar (dalam Segala perkara),”

“Supaya ia memberi taufiq Dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah) sesiapa Yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka Sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.”

Sesungguhnya sudah menjadi kewajiban bagi aktivis da’wah apabila kehilangan semangat dalam da’wahnya dan mengalami kegagalan dalam metode atau media perantaranya, lalu masyarakat tidak menerimanya, maka sebelum menyatakan keputusannya terhadap masyarakat dan menyalahkan mereka, sudah seharusnya ia mengembalikan semua hal kepada dirinya dan bermuhasabah perihal ketaqwaan dan keikhlasan diri. Lantaran itu hendaklah ia meneliti kembali mekanisme, metode, dan media yang ia gunakan, agar nanti apa yang ia lakukan selaras dengan syariat dan berada dalam ruang lingkup kebenaran. Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Asy-Syura, ayat 30 yang bermaksud:

“Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka hal itu disebabkan oleh perbuatan-perbuatan tangan kalian sendiri sedangkan Allah itu memaafkan sebagai besar (dari kesalahan-kesalahan itu).”