Jumaat, 21 Mei 2010

STRATEGI PENCEGAHAN GEJALA SOSIAL MASYARAKAT DAN PERANAN MASJID

التوبة : 18
“Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka terdiri dari golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.”


Pendahuluan.

Sebelum sebarang langkah untuk merumuskan pendekatan dan pencegahan yang berkesan dalam menyantuni masyarakat khususnya golongan belia dan remaja, kepimpinan masjid harus meneliti kedudukan mereka secara mendalam serta situasi dan kondisi mereka yang sedia ada. Beberapa pengamatan dapat dinyatakan dalam hal ini iaitu;

1. Wujudnya tanggapan bahawa masjid hanya sesuai untuk pesara atau orang-orang tua.

2. Struktur kepimpinan masjid tidak memberi ruang dan peluang penyertaan anak muda secara langsung dalam pembangunan masjid.

3. Masjid tidak dikembangkan untuk memberi perhatian kepada permasalahan belia dan remaja.

4. Kegiatan masjid sangat cenderung kepada memenuhi keperluan orang-orang dewasa dan tua sahaja.

5. Belia dan remaja tidak terbimbing dalam aktiviti yang sesuai untuk mendekatkan diri mereka kepada masjid.


Dalam analisis khidmat tersebut umumnya masjid tidak mengembangkan aktivitinya untuk melihat persoalan-persoalan masyarakat dengan lebih luas seperti:

1. Pendidikan kekeluargaan.
2. Pembangunan belia dan remaja.
3. Pegurusan kebajikan golongan tidak bernasib baik.
4. Kecemerlangan persekolahan anak-anak.
5. Masalah-masalah keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat.
6. Pembangunan rakyat termiskin.
7. Kemudahan membaca.
8. Pengukuhan ekonomi anak kariah.
9. Peningkatan kualiti dan taraf hidup anak kariah.
10. Pengindahan kawasan kariah.
11. Pendidikan dewasa.
12. Pusat pendidikan kanak-kanak.
13. Pendidikan kaum wanita.
14. Khidmat kaunseling remaja.
15. Pembangunan kesihatan anak kariah.
16. Bimbingan kerjaya belia.
17. Pembangunan sumber tempatan.
18. Khidmat penyebaran maklumat semasa.
19. Khidmat pusat musyawarah anak kariah
20. Khidmat bantuan perbelanjaan persekolahan
21. Khidmat pusat pembangunan kepimpinan masyarakat
22. Khidmat penyelesaian konflik komuniti
23. Khidmat nasihat persediaan perkahwinan
24. Khidmat pusat bantuan kecemasan
25. Khidmat membangun organisasi masyarakat setempat.
26. Pusat kaunseling pekerja industri.

Semua aspek tersebut adalah bidang dan medan kerja kepimpinan masjid yang boleh benar-benar menjadikan masjid sebagai Pusat Pembangunan dan Kemajuan Masyarakat yang sebenar.

Persoalan-persoalan dan masalah-masalah yang kini sedang berlaku di dalam masyarakat memerlukan perubahan paradigma yang besar dalam gerakkerja masjid. Hanya melalui keperihatinan dari masjid sahajalah akan menempatkan fungsi masjid ditengah-tengah hati nuraini komuniti lingkungannya. Keperihatinan kepimpinan masjid terhadap keperluan komuniti sekitarnyalah akan menambat masyarakat untuk mendampingi masjid dalam semua hal ehwal kehidupan mereka.

Dari pengamatan di atas natijah yang berlaku ialah kelompok belia dan remaja kian menjarak dari masjid. Dengan demikian, keberkaitan hidup anak muda dengan masjid tidak berlaku dan pembinaan tidak dapat dilaksanakan secara berkesan. Akhirnya mereka akan terlibat dan terjebak dalam aktiviti-aktiviti maksiat dan munkarat.

Pihak kami sedang meneliti fenomena ini dengan insaf bahawa suatu pendekatan yang berkesan perlu dirumus dan diimplementasikan. Namun begitu beberapa prasyarakat perlu dipenuhi sebagai upaya untuk memastikan pendekatan yang diambil akan berkesan;


a. Keterbukaan kepimpinan masjid.

Iaitu perlu ada keterbukaan yang membenarkan serta memberi keyakinan kepada belia dan remaja bahawa penglibatan mereka amat perlu dan penting. Keterbukaan ini akan membenarkan belia dan remaja diberi peluang turut serta dalam merancang serta melaksanakan aktiviti yang sesuai dan berciri ‘kebeliaan’ dan ‘kepemudaan’.

b. Melibatkan belia dan remaja dalam struktur jawatankuasa kariah.

Jawatankuasa kariah perlu menyemak kemungkinan untuk memastikan penyertaan belia dan remaja secara formal dalam menentukan ‘kerusi’ kepada belia dan remaja dalam jawatankuasa kariah perlu didahulukan sebagai laluan untuk menarik minat kehadiran dan penyertaan mereka.

c. Aktiviti masjid perlu mewujudkan hubungan dengan belia.

Kehadiran belia dan remaja akan hanya terjamin jika aktiviti yang dilaksanakan ‘berkait’, ‘berkenaan’ dan ‘bersesuaian’ dengan keperluan belia dan remaja. Justeru itu, pihak masjid perlu menggiatkan aktiviti yang secocok dan cukup merangsang minat mereka.


PENDEKATAN

Pendekatan masjid untuk menjangkau kelompok belia dan remaja sememangnya tidak mudah. Kesedaran dan komitmen dari kepimpinan masjid perlu dicetuskan secara tulen untuk menghulurkan tangan kasih serta ‘harapan keyakinan’ bahawa anak-anak muda memang boleh dididik. Sesungguhnya kita perlu membuktikan dedikasi masa, tenaga dan upaya kita untuk membangunkan mereka.

Bagaimanapun pendekatan kita tetap diterjemahkan berdasarkan beberapa asas hubungan kita dengan mereka iaitu;


1. Hubungan Nasihat.

Kelompok anak muda perlu diberikan dengan nasihat-nasihat yang ‘bernas’, ‘tepat’ dan ‘padat’. Apa yang perlu dielakkan ialah leteran yang boleh menimbulkan kebosanan. Kepimpinan masjid harus membina hubungan nasihat dengan kelompok belia dan remaja ini agar mereka tidak jemu datang ke masjid.


2. Hubungan Teladan.

Hubungan teladan ini menjadi penentu kepada kepercayaan anak muda terhadap kepimpinan masjid. Tingkahlaku, percakapan, pengurusan, disiplin, kejujuran dan kesungguhan barisan kepimpinan masjid akan terus menjadi perhatian anak muda. Ketelusan keperibadian kepimpinan masjid sering dituntut agar menyakinkan anak muda untuk turut serta dalam kegiatan-kegiatan pengimarahan masjid.


3. Hubungan Kasih Sayang.

Masjid harus dirasakan sebagai ‘ibu’ kepada masyarakat amnya dan anak muda khususnya. Hubungan yang membina perasaan kasih sayang bukan benci, sayang bukan herdik, lembut bukan kasar, membelai bukan mengutuk dan memujuk bukan menyerang, perlu disuburkan antara anak muda dengan kepimpinan masjid.


4. Hubungan Membimbing.

Masjid harus dirasakan sebagai pusat kaunseling yang berkesan bagi menyantuni alam kebeliaan dan keremajaan. Membimbing dengan aktiviti yang melengkapkan diri mereka dengan wawasan dan gagasan hidup yang tertib dan teratur akan lebih menambat hati nuraini mereka dengan masjid.

Berasaskan hubungan-hubungan ini, pendekatan berikut dicadangkan untuk digunapakai;


a. Bina Keilmuan Belia dan Remaja

Keilmuan amat asasi dalam pembinaan kelompok belia dan remaja. Penekanan yang wajar kepada kegiatan-kegiatan belia dan remaja yang berteraskan kefahaman dan penghayatan ilmu-ilmu Islam adalah pendekatan yang perlu diutamakan.

Dalam hal ini, penekanan ilmu agama yang asas bagi melengkapkan belia dan remaja dengan pengetahuan fardhu ain adalah penting dengan tidak pula mengabaikan kelilmuan mereka mengenai hal-hal fardu kifayah.

b. Bina Keperibadian Belia.

Masjid setepatnya berperanan untuk membina sahsiah yang luhur di dalam masyarakat. Kekuatan sahsiah adalah benteng bagi menangkis krisis moral yang melanda dan membarah di kalangan masyarakat masa kini.

Dengan yang demikian, pendekatan membina keperibadian belia dan remaja juga merupakan teras dalam menjayakan pembangunan masjid. Belia dan remaja yang dibangunkan kemurnian akhlaknya akan menjadi harapan kepada perkembangan masyarakat yang berpedoman, murni dan harmonis.


Isi pembinaan sahsiah juga harus menjurus kepada;

1. Pembentukan matlamat hidup.
2. Penegasan harga hidup.
3. Penekanan kesucian hidup.


c. Bina Kepimpinan Belia dan Remaja.

Aspek kepimpinan adalah kemuncak pembinaan yang perlu dicapai oleh masjid dalam menggerakkan kelompok belia dan remaja.

Pembinaan kepimpinan belia dan remaja memerlukan kebijaksanaan yang tepat dari pendokong masjid agar tidak berlaku kepincangan dan kebuntuan dalam membangun pelapis.

Masjid perlu membuat tapisan yang tepat agar dapat mewujudkan kelompok terpilih dari kalangan belia dan remaja bagi menjalani latihan yang ada kaitan dengan kefahaman, kemahiran dan kecekapan kepimpinan. Yang demikian hal ehwal pengurusan masjid perlu dijadikan sukatan latihan untuk belia dan remaja, disamping aspek lain termasuk penyampaian khutbah, memimpin majlis, merancang aktiviti, keceriaan, kebersihan, kursus smart solat serta mengendalikan urusan kewangan masjid.


KEMAHIRAN

Kemahiran untuk mengandalikan organisasi masjid adalah kecekapan dalam merancang, mengimplementasi, memantau dan menggerakkan susulan untuk mencapai keberkesanan maksima ketika menggerak sebarang tugas yang dilaksanakan untuk menghasilkan impak yang dihajati oleh organisasi masjid untuk memberi khidmat kepada masyarakat.


KEMAHIRAN melibatkan:

• Ketelitian.
• Keterperincian.
• Kerapian.
• Kekemasan.
• Ketekunan.
• Kecemerlangan.


KEMAHIRAN adalah berasaskan:

• Keilmuan.
• Informasi terkini.
• Teknologi berkesan.
• Pertimbangan dan perhitungan yang teliti.



PENUTUP

Pendektan yang berkesan hanya dapat direalisasikan melalui kesungguhan dan kerapian pihak Jawatankuasa Kariah Masjid. Pembangunan belia dan remaja adalah rukun kepada kesinambungan budaya dan tamadun ummah (كنتم خيرأمة) yang hendak dibina. Matlamat tetap sama, walaupun kaedah dan pendekatan mungkin berlaian antara satu kariah dengan kariah yang lain.